Thursday, 21 August 2014

MY SWEET TAMARA: an extract from chapter 1

sedikit sedutan dari Bab 1. Teaser akan menyusul...



MY SWEET TAMARA

Sebaik spotlight dan muzik dipasang, semua mata bertumpu pada Tamara yang sudah terpacak di tengah-tengah dewan. Pelbagai bunyi sampai ke cuping telinganya menyebabkan Tamara semakin cemas. Otaknya seperti tidak berfungsi dan dia tidak ingat langsung dengan geraktari yang harus dilakukannya untuk ujibakat itu. Tamara kaku di situ beberapa lama sehingga mula dicemuh oleh penonton-penonton yang kebanyakannya pelajar lelaki!

Entah siapa yang punya angkara, Tamara dipertontonkan pada skrin layar putih yang sedia terpasang di atas pentas. Tamara menyaksikan dirinya sendiri di atas layar bersama puluhan mungkin ratusan pelajar yang ada di dalam dewan, seolah-olah sedang menonton cerita di panggung wayang.

Nafas Tamara menjadi sesak apabila dewan gamat dengan ketawa dan suara-suara ejekan. Pembayang mata, pemerah pipi terlalu terang dan gincu bibir terlalu garang warnanya. Walaupun dia tidak pernah bersolek tapi Tamara tahu, apa yang tercalit di wajahnya adalah solekan yang tidak betul. Dia merasakan seolah-olah satu dunia menyaksikan dirinya yang disolek tebal bagaikan seorang jalang. Dia merasakan dirinya seperti dibogelkan di khalayak ramai.

Bunyi boo dan gelaran-gelaran yang sering dilontarkan padanya sebelum ini bergema di seluruh dewan. Dadanya sakit menahan sebak, jantungnya terasa hendak putus dari tangkai. Tubir mata mula basah, mula-mula perlahan kemudian semakin deras sehingga comot mata dan pipinya apabila warna hitam eyeliner dan maskara luntur bersama linangan airmata.



No comments:

Post a Comment