Monday, 22 September 2014

My Sweet Tamara: Part 1


teaser berbentuk video pendek (really, really short) sebab percubaan pertama. video akan dibuat peringkat demi peringkat untuk memperkenalkan watak utama dari kecil sehingga dia menginjak dewasa.

mohon maaf jika ia tidak sempurna.

credit to Mr Zakir Hussain Ibrahim,the video maker.

Wednesday, 3 September 2014

MY SWEET TAMARA: teaser rasmi BAB 1

Menjadi gadis pompom atau cheerleader adalah impian setiap pelajar perempuan di sekolahnya itu. Amat mustahil untuk tidak mempunyai impian itu kerana gadis-gadis pompom yang ada semuanya popular, cantik-cantik dan diminati pelajar-pelajar lelaki. Tahun lepas Tamara mencuba nasib, manalah tahu dia juga berjaya menjadi gadis pom-pom. Kalau dia berjaya, tidak ada lagi panggilan tomboy, budak kayu atau awek keras yang akan dilemparkan kepadanya. Namun hakikatnya tidak begitu. Apa yang berlaku sebelum cuti sekolah di penghujung tahun lepas masih segar di ingatan. Seumur hidupnya dia tidak pernah dimalukan sebegitu rupa.

“Kalau awak hendak menjadi ahli pasukan pompom, awak datang ke ujibakat terakhir pada hari Sabtu ini. Kita buat ujibakat di dewan sekolah pada pukul 10 pagi. Pastikan awak pakai pakaian yang betul. Saya tak nak tengok awak pakai jeans lusuh awak tu. Bila berlatih petang nanti, awak mesti berlatih bersungguh-sungguh,” pesan Putri Amber dengan lagak skema. Dia merupakan salah seorang AJK ujibakat. Tamara dilihatnya dari atas ke bawah beberapa kali. Tamara hanya mengangguk, terlalu gembira dan gugup dalam masa yang sama.

Petang ini ada latihan bersama beberapa orang peserta lain yang turut terpilih. Putri Amber akan menjadi jurulatih. Mengenangkan itu hati Tamara tiba-tiba merasa jengkel kerana dia memang pernah tidak sukakan si Putri berlagak itu. Tapi apa boleh buat demi untuk menjadi gadis pompom, Tamara sanggup menghadapi apa saja.

“Danny, kau nak main futsal tak petang ni? Tempat biasa.” Fizzi yang sedang menghampirinya menyoal.

“Petang ni? Aku rasa tak bolehlah. Aku ada hal,” sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal, Tamara mencari helah. Tidak sanggup dia melihat muka kawan baiknya semenjak dari sekolah rendah itu.

“Hal apa pula? Kau nak main dengan barbie doll ke? Atau nak main masak-masak?” Fizzi menyakat, kemudian ketawa. Tamara rasa sakit hati lantas menumbuk perut Fizzi dengan agak kuat menyebabkan Fizzi mengaduh kesakitan.

“Sori, sori. Aku lupa.” Fizzi cepat-cepat menjarakkan diri dan meminta maaf. Sudah agak lama dia tidak menyakat Tamara begitu kerana dia tahu Tamara akan naik hantu. Kali ini dia terlupa janjinya untuk tidak menyentuh isu yang sensitif pada Tamara.

“Lepas ni kalau kau buat lagi, aku patahkan tangan kau,” ugut Tamara.

“Okey, okey. Kau ni mengalahkan gangster la. Cuba kau lembut sikit, tak adalah orang panggil kau macam-macam. Kau ada apa sebenarnya petang ni?”

“Aku malas nak beritahu kau sebab gerenti kau akan ketawakan aku. Kau ajaklah orang lain. Petang ni memang aku tak boleh.”

Fizzi mencebik bibir seraya mengangguk. “Satu lagi, jangan lupa Sabtu ni ada Comic Fest di Plaza Merdeka. Costume aku dah ada, kau macam mana?”

Tamara menggigit bibir. Alamak, aku lupa. Macam mana ni? Fikir Tamara.

Fizzi nampak kecewa. “Tak apalah kalau kau sibuk sangat. Aku boleh pergi sendiri.”  Kemudian Fizzi terus berjalan meninggalkan Tamara di koridor kelas.

“Fizzi! Aku minta maaf. Nanti aku kol pasal Sabtu ni,” laung Tamara.

Fizzi hanya mengangkat sebelah tangan tanpa menoleh. Tamara benar-benar serba salah. Kenapalah semuanya mesti berlaku pada hari yang sama?



Thursday, 21 August 2014

SINOPSIS MY SWEET TAMARA


Dia ditinggalkan ayahnya semenjak kecil dan banyak perkara mengenai ayahnya yang dia tidak ingat. Hanya foto-foto sahaja yang ada untuk mengubat rindunya terhadap lelaki itu. Semenjak dibawa kembali ke tanah air sendiri, dia sering menjadi bahan ejekan dan umpatan hanya kerana dia memiliki paras rupa yang berlainan daripada orang lain.

Seringkali dia dipanggil dengan gelaran yang tidak enak didengar. Walaupun mempunyai perwatakan yang sedikit keras seperti lelaki, dia seorang gadis yang pintar, kelakar dan pandai mengambil hati. Oleh kerana itu, dia menjadi pelajar kesayangan dan pelajar harapan sekolah menyebabkan dirinya semakin dicemburui teman satu sekolah.

Rupa parasnya yang berlainan juga telah menarik minat ramai lelaki tetapi dia tidak mudah termakan pujuk rayu kerana cita-citanya lebih penting. Dia tidak lari dari disensasikan dengan fitnah sehingga membabitkan ibunya.

Jika Kuch Kuch Hota Hai berkisar cinta dua wanita terhadap seorang lelaki yang sama, cerita ini pula menyelitkan kisah dua orang lelaki cuba meraih cinta seorang gadis.

Di dalam menghadapi kemelut perselisihan faham cinta tiga segi, hadir seorang lagi lelaki yang membawa perubahan di dalam hidupnya.




tempahan sudah boleh dibuat di www.karystoscreative.com/v2/
ada sweet gift dari Sweet Tamara

MY SWEET TAMARA: an extract from chapter 1

sedikit sedutan dari Bab 1. Teaser akan menyusul...



MY SWEET TAMARA

Sebaik spotlight dan muzik dipasang, semua mata bertumpu pada Tamara yang sudah terpacak di tengah-tengah dewan. Pelbagai bunyi sampai ke cuping telinganya menyebabkan Tamara semakin cemas. Otaknya seperti tidak berfungsi dan dia tidak ingat langsung dengan geraktari yang harus dilakukannya untuk ujibakat itu. Tamara kaku di situ beberapa lama sehingga mula dicemuh oleh penonton-penonton yang kebanyakannya pelajar lelaki!

Entah siapa yang punya angkara, Tamara dipertontonkan pada skrin layar putih yang sedia terpasang di atas pentas. Tamara menyaksikan dirinya sendiri di atas layar bersama puluhan mungkin ratusan pelajar yang ada di dalam dewan, seolah-olah sedang menonton cerita di panggung wayang.

Nafas Tamara menjadi sesak apabila dewan gamat dengan ketawa dan suara-suara ejekan. Pembayang mata, pemerah pipi terlalu terang dan gincu bibir terlalu garang warnanya. Walaupun dia tidak pernah bersolek tapi Tamara tahu, apa yang tercalit di wajahnya adalah solekan yang tidak betul. Dia merasakan seolah-olah satu dunia menyaksikan dirinya yang disolek tebal bagaikan seorang jalang. Dia merasakan dirinya seperti dibogelkan di khalayak ramai.

Bunyi boo dan gelaran-gelaran yang sering dilontarkan padanya sebelum ini bergema di seluruh dewan. Dadanya sakit menahan sebak, jantungnya terasa hendak putus dari tangkai. Tubir mata mula basah, mula-mula perlahan kemudian semakin deras sehingga comot mata dan pipinya apabila warna hitam eyeliner dan maskara luntur bersama linangan airmata.



Wednesday, 20 August 2014

Assalamualaikum. Sudah tiba masa untuk promosi MY SWEET TAMARA. Novel yang sesuai dibaca remaja dan dewasa kerana kisahnya bermula di usia Tamara menginjak alam remaja sehingga dia dewasa. Pembelian secara online sudah dibuka di http://www.karystoscreative.com/v2/
dengan harga istimewa dan hadiah sweet dari Tamara.


TEASER 1 - MY SWEET TAMARA



Suasana di sekolah riuh-rendah dengan suara murid-murid di waktu rehat. Tamara yang baru dua bulan belajar di sekolah itu masih merasa canggung. Bekas makanan dan botol air diambil dari rak khas dan dibawa ke satu tempat di bawah pokok Golden Shower yang sedang lebat berbunga kuning di hadapan bilik darjah.

Tamara suka memerhati bunga-bunga pokok itu gugur menutupi tanah. Keadaan itu sering mengingatkannya dengan suatu tempat yang dia sendiri tidak ingat. Dia lebih suka duduk di bawah pokok itu membaca sambil makan bekalan daripada bermain dengan kanak-kanak lain.

Sekali-sekala dia mengukir senyum apabila melihat gelagat murid-murid lain bermain kejar-kejar. Dia mengerutkan dahi  apabila  melihat sekumpulan murid bermain satu permainan yang pelik baginya. Murid-murid ini kelihatan seperti sedang mengganggu seorang murid lain yang berdiri di hadapan. Dia tidak faham permainan itu tetapi apa yang dia dapat dengar ialah mereka menyebut ‘pukul berapa datuk harimau?’ berkali-kali.  Walaupun belum begitu faham, dia dapat ingat apa yang mereka sebut.

Si ‘datuk harimau’ kelihatan berang kerana diganggu dan setelah beberapa kali ditanya, si ‘datuk harimau’ kemudian mengejar mereka yang mengganggunya. Dia mengekek ketawa apabila si ‘datuk harimau’ berjaya menangkap salah seorang dari mereka dan murid yang tertangkap itu pula menjadi ‘datuk harimau’ yang baharu.

Keseronokannya tiba-tiba bertukar menjadi rasa takut apabila beberapa orang murid perempuan melewati tempatnya duduk. Mereka seperti sengaja berjalan perlahan-lahan dan merenungnya dengan mimik muka yang garang. Seorang mencebik bibir, seorang  menjelirkan lidah dan seorang lagi mendengus dan mengerutkan hidungnya.

Why don’t they like me? Fikir Tamara. Dia tahu perlakuan mereka itu menunjukkan yang dirinya tidak disukai kerana semenjak hari pertama dia menjejakkan kakinya ke sekolah itu dia dapat merasakan dirinya akan sukar diterima dan akan sukar mendapat kawan.
Perhatiannya terganggu apabila ditegur dengan kasar.

“Awak tak boleh duduk di sini. Ini tempat kami.”

What? I’m sorry, I don’t understand.”

“Alah, nak cakap macam orang putih konon. I said, you cannot sit here.”

Selalunya tempat itu kosong kenapa hari ini menjadi milik mereka pula? Fikir Tamara. “I am sorry, but I always sit here,” jawabnya yang masih belum fasih berbahasa Melayu.

“We don’t care. Go some place else!” Salah seorang daripada empat orang kanak-kanak itu yang kelihatan berlagak seperti ketua mereka membentak sambil menolak bahu Tamara menyebabkan Tamara terkejut. Bekas makanan terlepas dari tangan.

This spot doesn’t belong to anybody.” Tamara melawan. 

Well, from today, it is ours. Do you understand?” “Tak faham bahasa betul budak ni.

Mak kita kata, budak ni pelik. Lagi satu dia tak ada ayah. Mak kita tak benarkan kita berkawan dengan dia,” seorang lagi memberi komen, disambut anggukan yang lain. Kemudian mereka berbisik-bisik sesama sendiri.

Did you hear that? You are a freak and you have no father. Nobody wants to be your friend. Now go away!” Gertak si ketua itu lagi yang juga fasih bercakap di dalam Bahasa Inggeris.

Kata-kata you have no father terngiang-ngiang di telinga.Tanpa disedari airmatanya mengalir. Balik ke rumah nanti, aku akan tanya ibu. Betulkah aku tak ada ayah, dia memasang tekad. Tamara terkejut apabila seseorang menghulurkan tisu kepadanya. Budak lelaki itu nampak ikhlas dan Tamara menyambut pemberiannya lantas mengesat airmata.

Thank you,” ucap Tamara.

You are welcome. I saw what happened. Don’t worry, I will be your friend. My name is Fizzi,” balas budak lelaki itu seraya menghulur salam.

Tamara senyum dan menyambut salam. “I am Tamara Dania. You can call me either one.

Fizzi kemudian membawa Tamara ke satu sudut kesukaannya. Mereka berdua duduk bersila sambil berkongsi makan bekalan yang dibawa oleh Tamara.

“Will you not be ashamed to be around me, to be my firend? They said I am a freak.”

Budak lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Fizzi itu hanya senyum dan menggeleng. “I don’t find you freaky but your name is weird. It sounds like a tree.”

Tamara ketawa. Fizzi berasa hairan sebab budak perempuan itu langsung tidak ambil hati dengan komennya.

“Esok, awak duduk dengan saya. Kita makan sama-sama. Saya akan ajar awak cakap Melayu.”

Tamara mengecilkan mata, tidak faham dengan apa yang dikatakan kawan barunya itu.

“Owh...sorry, I said tomorrow you can eat with me and  I will teach you how to speak Malay.” Fizzi mengulang pelawaanya.

Tamara tersenyum lebar dan mengangguk. “Okay, I’ll see you tomorrow then.”      

See you tomorrow Dania,” balas Fizzi sebaik loceng berbunyi. Nampaknya dia lebih sukakan nama Dania dari Tamara.










































19 August 2014 at 21:20

Tuesday, 29 October 2013

SEBELUM AKU PAMITAN

SEBELUM AKU PAMITAN

30 October 2013 at 12:50

INGIN AKU MELANGKAH PERGI
NAMUN KAKI SERING TERSANDUNG
DIBENDUL PINTU TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB
YANG BELUM LUNAS

INGIN AKU BERPALING
NAMUN WAJAH-WAJAH MULUS TERSENYUM MANIS
MEMPAMERKAN
KASIH SAYANG YANG TIADA BATAS
DAN CINTA YANG TIADA SEMPADAN
MENJADI TIANG-TIANG PAGAR
DI TIAP SUDUT  PUSINGAN
360 DARJAH

INGIN AKU MEMBAWA HATI
NAMUN TIDAK TAHU KE MANA ARAH TUJUAN
TIADA TEMPAT MENUMPANG
TIADA KEBERANIAN
TIADA KESANGGUPAN

SEMUA INI MELELAHKAN
HINGGA HELAAN NAFAS MENJADI SAKIT
SEMUA INI MELETIHKAN
HINGGA TUBUH YANG KECIL MUNGIL INI TERASA PERIT
BAGAI DIPALU BESI BERDURI

KU HARAP TANGGUNGJAWAB
DAN TUGASKU BISA DILUNASI
KU HARAP RUANG YANG KOSONG
AKAN ADA PENGISI
ADA PENGGANTI YANG LEBIH BAIK
BILA AKU PAMITAN
TIKA AKU MENUTUP MATA

ANDAI AKU TIADA LAGI
KU HARAP
YANG TINGGAL BISA MEMAAFI
MENGINGATI
MENGHARGAI
MENGIRIMKAN DOA LEWAT SOLAT
SUPAYA AKU BISA AMAN
MENUNGGU TIMBANG TARA
APAKAH KE SYURGA ATAU
KE NERAKA....

[LIDAH TAJAM ]

Tuesday, 16 July 2013

PENGGANTI LISAN

biarlah hujung jariku saja berbicara
bibir ini sudah letih
sudah bosan mengungkap kata-kata
kerna sering disalah erti
dan tidak difahami
lantaran maksud tiada
kesampaian

biarlah hujung jariku saja berbicara
kerna sukar untuk ku luah
lewat lisan
 daripada menyakiti dan disakiti
aku nekad membisukan diri
tiada siapa perlu tahu
sakit di hati
tiada siapa perlu tahu
lara ku lalui

biarlah hanya dengan kalam
kerna lidah sudah kumatikan