Wednesday, 3 September 2014

MY SWEET TAMARA: teaser rasmi BAB 1

Menjadi gadis pompom atau cheerleader adalah impian setiap pelajar perempuan di sekolahnya itu. Amat mustahil untuk tidak mempunyai impian itu kerana gadis-gadis pompom yang ada semuanya popular, cantik-cantik dan diminati pelajar-pelajar lelaki. Tahun lepas Tamara mencuba nasib, manalah tahu dia juga berjaya menjadi gadis pom-pom. Kalau dia berjaya, tidak ada lagi panggilan tomboy, budak kayu atau awek keras yang akan dilemparkan kepadanya. Namun hakikatnya tidak begitu. Apa yang berlaku sebelum cuti sekolah di penghujung tahun lepas masih segar di ingatan. Seumur hidupnya dia tidak pernah dimalukan sebegitu rupa.

“Kalau awak hendak menjadi ahli pasukan pompom, awak datang ke ujibakat terakhir pada hari Sabtu ini. Kita buat ujibakat di dewan sekolah pada pukul 10 pagi. Pastikan awak pakai pakaian yang betul. Saya tak nak tengok awak pakai jeans lusuh awak tu. Bila berlatih petang nanti, awak mesti berlatih bersungguh-sungguh,” pesan Putri Amber dengan lagak skema. Dia merupakan salah seorang AJK ujibakat. Tamara dilihatnya dari atas ke bawah beberapa kali. Tamara hanya mengangguk, terlalu gembira dan gugup dalam masa yang sama.

Petang ini ada latihan bersama beberapa orang peserta lain yang turut terpilih. Putri Amber akan menjadi jurulatih. Mengenangkan itu hati Tamara tiba-tiba merasa jengkel kerana dia memang pernah tidak sukakan si Putri berlagak itu. Tapi apa boleh buat demi untuk menjadi gadis pompom, Tamara sanggup menghadapi apa saja.

“Danny, kau nak main futsal tak petang ni? Tempat biasa.” Fizzi yang sedang menghampirinya menyoal.

“Petang ni? Aku rasa tak bolehlah. Aku ada hal,” sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal, Tamara mencari helah. Tidak sanggup dia melihat muka kawan baiknya semenjak dari sekolah rendah itu.

“Hal apa pula? Kau nak main dengan barbie doll ke? Atau nak main masak-masak?” Fizzi menyakat, kemudian ketawa. Tamara rasa sakit hati lantas menumbuk perut Fizzi dengan agak kuat menyebabkan Fizzi mengaduh kesakitan.

“Sori, sori. Aku lupa.” Fizzi cepat-cepat menjarakkan diri dan meminta maaf. Sudah agak lama dia tidak menyakat Tamara begitu kerana dia tahu Tamara akan naik hantu. Kali ini dia terlupa janjinya untuk tidak menyentuh isu yang sensitif pada Tamara.

“Lepas ni kalau kau buat lagi, aku patahkan tangan kau,” ugut Tamara.

“Okey, okey. Kau ni mengalahkan gangster la. Cuba kau lembut sikit, tak adalah orang panggil kau macam-macam. Kau ada apa sebenarnya petang ni?”

“Aku malas nak beritahu kau sebab gerenti kau akan ketawakan aku. Kau ajaklah orang lain. Petang ni memang aku tak boleh.”

Fizzi mencebik bibir seraya mengangguk. “Satu lagi, jangan lupa Sabtu ni ada Comic Fest di Plaza Merdeka. Costume aku dah ada, kau macam mana?”

Tamara menggigit bibir. Alamak, aku lupa. Macam mana ni? Fikir Tamara.

Fizzi nampak kecewa. “Tak apalah kalau kau sibuk sangat. Aku boleh pergi sendiri.”  Kemudian Fizzi terus berjalan meninggalkan Tamara di koridor kelas.

“Fizzi! Aku minta maaf. Nanti aku kol pasal Sabtu ni,” laung Tamara.

Fizzi hanya mengangkat sebelah tangan tanpa menoleh. Tamara benar-benar serba salah. Kenapalah semuanya mesti berlaku pada hari yang sama?



No comments:

Post a Comment