Thursday, 4 July 2013

SWEET TAMARA - BAB 1



Dari bawah pokok ketapang, Tamara dapat mendengar sorakan dan pekikan pasukan pom-pom sekolah yang sedang berlatih di padang bertentangan arah. Agak meluat dia melihat mereka memakai kemeja T potongan slim fit dan memakai legging. Meluat atau cemburu?
Hatinya kuat mengatakan yang dia sebenarnya cemburu dengan pelajar-pelajar yang dipilih menyertai “Sweet 17”, tukang sorak untuk pasukan bolasepak dan ragbi sekolah, sedangkan dia...hah...macam mana hendak dipilih? Pergi audition pun tidak. Malu diketawakan jika pergerakannya nampak keras dan kaku. “Aku belum sweet 17 lagi, macam mana nak audition” Tamara mengomel sendiri sekadar menyedapkan hati sendiri.
Pasukan pom-pom ini juga menjadi peserta pertandingan pom-pom atau cheerleading di antara sekolah-sekolah menengah yang diadakan saban tahun. Tahun lepas, mereka berjaya menjadi johan. Sudah tentu tahun ini mereka mesti lebih giat berlatih untuk mempertahankan kejuaraan.
We...are....the....best..we...are...the...number one...we... are ....the Sweet 17...” pekikan itu kedengaran lagi diiringi beberapa pergerakan ala jimnastik yang dibuat secara serentak. Tamara berpeluk tubuh memerhati gadis-gadis tersebut membuat pergerakan sambil memegang dan menghayun lembut pom-pom mereka ke udara. Dia mengajuk pekikan tersebut tanpa suara sambil menggerak-gerakkan bahu dan kepala sambil membuat muka meluat.
“Danny!” sergah seseorang. Tamara terkejut dan pantas menoleh. “Apa kau buat di sini? Aaa....aku tahu. Kau teringin nak jadi gadis pom-pom juga, kan?” sambung Fizzi, kawan karib Tamara itu sambil ketawa. Tamara merasa tersindir. Mulutnya diherotkan tanda geram. Sudahlah terkejut, disindir pula.
“Ish! Mengarutlah. Kau ni tak ada kerja lain, suka ganggu konsentrasi aku. Aku ni sedang berseronok memerhatikan badut-badut tu terlompat-lompat macam monyet sambil menghayun pom-pom” sengaja Tamara mengejek demi menepis sangkaan Fizzi. Temannya itu ketawa kecil mendengar omelan Tamara sambil matanya asyik melihat ke padang.
“Badut? Ya lah tu Danny” ucap Fizzi dengan perlahan namun sinis.
“Amboi, bukan main lagi kau perli aku. Kau terhendap-hendap datang ke sini pula apahal? Kau sebenarnya seronok melihat mereka dengan baju dan seluar ketat tu, kan? Mengaku sajalah” Tamara menjeling Fizzi dan membalas balik sindiran. Fizzi hanya mengangkat-angkat kening sambil tersengih.
Penat berdiri, Tamara duduk. Fizzi pun duduk agak dekat dengan agak dekat menyebabkan kaki dan tangan Tamara terasa sejuk tiba-tiba, gemuruh tanpa punca.
“Heh! Bukan sebab itulah. Satu sekolah aku cari, rupa-rupanya kau melepak di sini” tempelak Fizzi menafikan sangkaan gadis berbadan kecil itu yang sudah biasa dipanggilnya dengan gelaran Danny.
Tamara mencebik bibir mendengar jawapan Fizzi. Matanya masih ke arah padang. “Penting sangat ke, cari aku?”
“Lebih kurang begitu” sahut Fizzi sambil menguntum senyum yang nakal. Senyap seketika. Fizzi mencuri pandang wajah Tamara. Ada sesuatu yang dia rasa, tetapi dia sendiri tidak tahu rasa yang bagaimana.
“Begini, aku cari kau sebab nak jemput kau datang ke rumah aku malam ini, ada birthday party untuk papa. Mama suruh aku jemput kau sekali. Dari semalam lagi aku nak beritahu, tapi lupa” Fizzi memberi penjelasan.
“Kau tu memang, pelupa tak habis-habis” tempelak Tamara.
I am so sorry, tapi mama nak sangat kau datang. Katanya sudah lama dia tidak berjumpa dengan kau, dia rindu nak berborak dengan Danny yang sweet pasal.....apa yang dia sebut semalam eh? Err....ha! women’s stuff. Kau tau tak, walaupun orang lain nampak kau keras macam kayu, tapi mama tidak. Mama kata dia suka sangat berborak dengan kau, sebab kau pandai berjenaka. Lepas tu dia kata gadis macam kaulah yang dia nak jadikan menantu” sambung Fizzi lagi seraya tersengih-sengih. Kepalanya didekatkan sedikit dengan kepala Tamara membuat hati gadis itu berdebar dan mukanya terasa panas. Rasa kurang selesa, kedudukannya dijarakkan sedikit.
“Menantu? Hish! Minta dijauhkan” komen Tamara. Mulutnya berkata begitu, tetapi di dalam hati, Tuhan saja yang tahu.
“Ya, dia cakap begitu” tekan Fizzi.
“Hmm...sampai begitu sekali mama kau puji aku? Aku tak percayalah, kau yang melebih-lebih. Kau ni bukan boleh percaya sangat” sambung Tamara. Takkan mama Fizzi bercakap begitu walaupun hubungan dia dan mama Fizzi agak rapat.
“Kalau kau tak percaya, sudah. Kau hendak pergi ke tidak? Kalau kau nak, aku jemput kau di rumah. Kalau kau tak dapat datang, nanti aku cari orang lain untuk ganti tempat kau” Fizzi berseloroh. Dia tahu Tamara tak akan menolak.
Mata Fizzi masih memerhati kumpulan pom-pom yang sedang berhenti rehat duduk di bangku-bangku di tepi padang. Ada satu kelibat di antara gadis-gadis pom-pom itu yang mencuri perhatiannya.
“Ha ah...kau cubalah cari kalau ada yang bajet sweet macam aku dan yang mama kau boleh ajak berbual bab-bab perempuan. Ha..tu, Putri Amber kan ada” cabar Tamara. Dengan ekor matanya, Tamara perasan perubahan pada riak wajah Fizzi. Sukalah tu!
“Kau pun satu, berilah masa untuk aku fikir dulu” pinta Tamara.
“Dah, dah. Tak payah fikir-fikir. Masa tidak mengizinkan. Kau datang sajalah nanti. Mama riiiiinduuuu.... sangat dengan kau. Eh! Kau perasan tak, kita pun sudah lama tak hang out sama-sama kan?” balas Fizzi sambil menoleh ke arah Tamara.
Perkataan rindu diucap dengan intonasi yang panjang untuk meyakinkan Tamara. Memang sudah agak lama dia tidak bertandang ke rumah Fizzi. Paling akhir dia ke sana pada cuti penghujung tahun lepas untuk menyambut harijadi Auntie Lia, mama Fizzi.
Auntie Lia melayan Tamara dengan baik sekali, malah membahasakan dirinya sebagai mama apabila berbual. Begitu juga dengan Uncle Zain. Mungkin kerana dulu mereka pernah berjiran dan mungkin kerana Fizzi dan Tamara berkawan rapat semenjak dari sekolah rendah lagi maka mereka menganggap Tamara seperti anak mereka sendiri, lebih-lebih lagi pasangan ini tidak ada anak perempuan.
Entah kenapa kini Tamara merasa amat janggal untuk melepak di rumah Fizzi. Kadang-kadang Fizzi pun ada datang ke rumahnya tetapi sekadar di patio sahaja.
Setelah agak lama diam, Tamara akhirnya bersetuju. “Baiklah, baiklah. Aku tunggu kau jemput aku. Tapi kau mesti jumpa ibu aku dan minta izin dari dia dahulu, faham?”
“Hah? Perlu ke? Kita bukannya hendak keluar dating pun” soal Fizzi, hairan dengan pengucapan Tamara.
“Dulu lain, sekarang lain beb. Dulu, kita masih budak-budak lagi, tak tahu apa-apa. Ibu aku kata, aku ni dah besar panjang, dah sweet sixteen. Anak dara seusia aku ini tidak elok keluar sesuka hati, lebih-lebih lagi waktu malam. Aku rasa kau faham maksud aku” jelas Tamara seperti sedang berpidato saja lagaknya.
Fizzi tekun mendengar sambil mengangguk perlahan.
“Satu lagi, ibu aku berpesan, kalau ada sesiapa hendak ajak aku keluar, mesti jumpa dia in person. Beritahu dia dulu ke mana hendak pergi dan pukul berapa hendak balik. Nombor telefon bimbit, nombor telefon rumah pun kau mesti berikan pada ibu aku nanti. Tapi ada satu perkara yang aku risau” Tamara berhenti seketika untuk memberi ruang suspense.
“Apa dia?” soal Fizzi, wajahnya nampak risau.
“Ibu mungkin akan tanya beberapa soalan, tapi itu ikut mood dialah. Kalau kau boleh jawab soalan-soalan temuduga dia, barulah dia benarkan aku keluar. Silap haribulan dia suruh kau baca surah ke, doa ke, lafaz niat sembahyang ke” sambung Tamara lagi dengan panjang lebar dan bernada serius untuk menguji kesungguhan Fizzi. Entah benar, entah tidak si Tamara ni.  Bibirnya digigit untuk menahan ketawa bila terpandang muka Fizzi yang keliru dengan mulutnya ternganga dan tangannya menggaru-garu kepala.
“Kelakar sungguh muka Fizzi” bisik hati Tamara.
“Sampai begitu sekali? Tak sangka pula ibu kau kontrol kau sekarang, ya? Okey, kalau macam tu malam ini aku datang seawal mungkin. Aku akan minta izin dari ibu kau. Ish...lain macam sahaja bunyinya. Mengalahkan orang yang bercinta pula ya bro” sahut Fizzi.
“Apa bro, bro? Kau ingat aku jantankah apa?” tingkah Tamara.
“Alah, kau ni. Bergurau pun tak boleh. Sensitif sangat semenjak dua menjak ni” komen Fizzi.
Buat seketika mereka berdua senyap seperti sedang mencari sesuatu untuk dijadikan modal bicara.
“Tapi, ibu kau dah biasa dengan aku, kita kawan dah lama. Perlu ke dia strict sangat?”
“Baguslah ibu aku buat begitu. Bolehlah kau practice awal-awal sebelum ajak anak dara orang dating.”
“Anak dara? Kaulah anak dara tu” balas Fizzi dengan bersahaja.
“Eleh! Tak payah nak loyar buruk. Aku tahu, kau sebenarnya nak mengintip Putri Amber, sebab itu kau ke sini. Menjemput aku tu sebagai alasan saja, betul tak?” sahut Tamara sambil tersenyum pahit.
“Macam mana kau tahu ya? Kau ada kuasa psikik eh?” soal Fizzi lagi.
Tamara menjeling Fizzi dengan tajam. Mulutnya mengomel sesuatu. “Beb! Sekeras-keras dan selasak-lasak aku ni, aku ada mata, ada hati, ada perasaan. Aku tahulah agenda kau tu” ulasnya dengan nada geram.
“Kau cemburu?” sindir Fizzi.
“Ada aku kisah?” soal Tamara kembali seraya menjegilkan matanya ke arah Fizzi. “Aku tidak ada masa hendak cemburu dengan Putri Amber yang over acting itu. Bajet artis! Buang masa saja. Hah! Aku ada satu cadangan baik punya. Kau mesti suka” tambah Tamara yang agak menyampah dengan soalan Fizzi.
“Apa dia?” Fizzi membetulkan duduknya dan menghadap Tamara kerana over excited.
“Kalau kau ikut rancangan aku ni, hari-hari kau boleh jumpa dia dan senanglah kau nak tackle si gedik itu” ucap Tamara. Fizzi dengan penuh minat mendengar.
“Teruskan, teruskan. I’m listening” desak Fizzi bila Tamara tiba-tiba berhenti bercakap.
“Apa kata ....kau..... jadi maskot pasukan pom-pom tu. Dan aku rasa sesuai sangatlah kalau... kau jadi maskot, emm......." Tamara berkelakuan seolah-olah sedang berfikir. Mata Fizzi membulat menunggu.
"Ha! Maskot beruang!” tempik Tamara. Mukanya sengaja serius walaupun dalam hatinya bagai digeletek hendak ketawa saat melihat muka Fizzi yang berubah kemerahan.
What? Kau memang sengaja nak kenakan aku, kan. Tak ada idea lain ke, Danny?” balas Fizzi dengan geram kerana merasa dirinya dipermainkan oleh Tamara.
“Ada, ada. Kalau kau malu nak jadi maskot beruang, apa kata kau jadi kuli angkat air untuk Putri Amber? Kau ganti tempat si Nana yang bendul tu. Kesian aku tengok Nana tu jadi babu dia ke hulu ke hilir” Tamara semakin galak menyakat. Seronok betul dia mempermainkan Fizzi.
Oleh kerana tidak tahan, akhirnya Tamara melepaskan ketawanya lebih-lebih lagi melihat muka Fizzi yang masam mencuka. “Sorilah. Aku suka tengok kau marah-marah begini. Nampak manjalah sangat. Rileklah bro. Kalau sudah jodoh kau dengan budak perasan cantik sangat tu, tak akan ke mana” Tamara pura-pura memujuk.
“Oh, kau main-mainkan aku ya? Tak apa, esok lusa aku kenakan kau balik” Fizzi memberi amaran. “Danny, ada satu lagi benda aku hendak tanya ni” Fizzi bersuara lagi.
“Apa lagi? Kau hendak minta tolong aku merisik Putri Amber pula? Sori, aku belum cukup umur untuk masuk campur bab kahwin-kahwin ni, saudara Fizzi” Tamara menjulingkan matanya dan memandang wajah Fizzi menyebabkan Fizzi tergelak.
“Ish...kau ni, ke situ pulak. Belum cukup umur konon. Bukan itulah. Aku hendak pinjam tugasan Add Maths kau. Itu pun kalau sudah siap” balas Fizzi. Nada suaranya seperti menyindir kerana tidak yakin kawan baiknya itu sudah menyiapkan tugasan yang dimaksudkan.
“Aaa..itulah. Suka sangat hendak salah sangka dengan aku. Aku punya sudah lama siap, der. Itulah kau asyik angau, tugasan pun kau lupa. Sekarang hendak copy paste kerja orang” sindir Tamara.
“Bukan begitu Danny. Aku tak perasan tugasan tu mesti dihantar minggu depan.Aku ingatkan lama lagi. Bolehlah eh? Pandailah aku ubah sikit-sikit nanti supaya tak nampak sangat aku copy paste dari kau” balas Fizzi dengan muka mengharap.
“Yalah, yalah. But this will be the last, ok” ucap Tamara dengan nada amaran.
Dia sendiri tidak faham kenapa dengan begitu senang mengalah dengan Fizzi. Kawan-kawan sekelas yang lain ada juga yang pernah meminta bantuannya di dalam bab-bab kerja sekolah dan tugasan tetapi tidak semudah itu dia membenarkan mereka menyalin kerjanya. Dengan Fizzi, dia tidak boleh berdolak-dalih. Masuk yang ini sudah berapa puluh kali Fizzi menghantar hasil kerja yang hampir sama dengan hasil kerja Tamara. Mungkin kerana mereka sudah lama berkawan, dan sudah kenal hati budi masing-masing. Nasib baik kerja-kerja Fizzi diterima oleh cikgu-cikgu mereka, kalau tidak, tak tahulah apa akan terjadi.
Pasukan pom-pom sudah habis berlatih dan sedang duduk di bangku-bangku di tepi padang. Sayup-sayup kedengaran lagu We Are The Champions dimainkan. Mungkin untuk menaikkan semangat. Kelihatan Putri Amber berdiri dan bercakap di hadapan ahli pasukan pom-pom dan berkata sesuatu. Lagaknya seperti seorang professional saja, mengalahkan jurulatih.
Over acting!” getus hati Tamara.
“Danny, kau rasa aku ada peluang tak dengan Putri Amber?” Fizzi tahu, walaupun Putri Amber itu cantik dan vogue, dia masih solo. Ramai pelajar-pelajar lelaki sekolahnya dan dari sekolah-sekolah lain yang tergila-gilakannya, namun tidak dilayan. Fizzi pula mahu mencuba nasib.
“Manalah aku tahu. Kau tanyalah dia sendiri. Orang suruh jadi maskot beruang, malu-malu harimau pula” jawab Tamara dengan selamba. Ada nada kecewa di dalam nada suaranya. Tanpa sedar jari-jarinya mencabut lalang-lalang yang tumbuh meliar di celah-celah akar pokok.
Fizzi mencubit lengan Dania dan memberi amaran dalam bergurau “Kau sebut lagi pasal maskot beruang tu, siap kau.”
“Adoi! Sakitlah. Apa pegang-pegang anak dara orang ni? Haram tau?” herdik Tamara sambil menggosok-gosok lengannya dan menumbuk belakang Fizzi sebagai balasan. Giliran Fizzi pula mengaduh kesakitan.
“Yang kau tumbuk anak bujang orang, boleh pula?” balas Fizzi menyebabkan Tamara terkesima.
“Asyik-asyik Amber saja dia fikirkan” bicara Tamara di dalam hati. Akhirnya, dia bangun dan meminta diri. Fizzi pun bangun seraya mengingatkan Dania tentang agenda malam nanti.
“Jangan kau yang lupa datang jemput aku. Nanti aku sudah bersiap, kau tak muncul-muncul” ucap Tamara sebelum berlalu.
Don’t worry. Mama pasti tanya pasal engkau nanti. Tapi, kalau aku lambat kau call, eh?” balas Fizzi.
Tamara hanya mengangguk dan berjabat ala rappers dengan Fizzi. Satu ritual dan stail berjabat tangan yang telah mereka berdua cipta sendiri dan sudah digunakan selama bertahun-tahun. Sebelum melangkah ke arah bertentangan, Tamara sempat menoleh ke arah Fizzi. Pada masa yang sama, Fizzi yang sedang menggeliatkan badannya pun menoleh ke arah Tamara. Fizzi senyum dan mengenyitkan matanya. Tamara merasa seperti jantungnya hendak meletup bila mata mereka berlaga.
 “Hish.....kenapalah dengan aku ni?” Tamara berbicara sendiri sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia terus berpaling dan mula menapak ke arah pondok pengawal keselamatan.







No comments:

Post a Comment