Jam
tangan sudah menunjukkan pukul 5:15 petang. Keadaan di sekolah sudah agak
sunyi. Kelihatan beberapa orang gadis pom-pom berjalan melewati tempat Tamara
menunggu sambil berbual dan ketawa. “Seronok betul mereka ni jadi gadis
pom-pom, mengalahkan selebriti” detik hati Tamara. Sakit hati betul dia dengan
budak-budak pom-pom ni!
Tamara
beralih dari bangku kayu, dan mengambil tempat duduk di bangku simen ferro yang
lebih terlindung dan sejuk. Tempat duduk di luar pondok jaga sekolah itu dihias
dengan bunga-bunga bougainvilla pelbagai warna untuk menambah
keceriaan sekolah.
Kedudukan
cap di kepala dibetulkan dan Tamara memakaikan earphone ke
telinga untuk menghilangkan rasa bosan. Kaki dan tangannya bergerak-gerak
seperti sedang memukul drum mengikut alunan lagu yang didengar, nyanyian
kumpulan Linkin’ Park. Kalau remaja lain sebayanya meminati artis-artis
mengikut era dan masa tapi Dania amat meminati Linkin’Park walaupun
kumpulan ini wujud di era 90an.
“Assalamualaikum....assalamualaikum....ehem...saudari!”
dengan rasa kalut Tamara menyentap salah satu tali earphone apabila
menyedari ada seseorang berdiri di sebelahnya. “Alahai mamat ni tiba-tiba
muncul” getus hati Tamara yang separuh malu memikirkan kalau penonton tak
diundangnya itu terlihat perlakuan peliknya tadi. Mana tak peliknya, orang
tengah seronok berangan-angan menjadi pemain drum! Terbawa-bawa pula tu!
“Wa
‘alaikumsalam” Tamara mengangkat mukanya seraya menyambut salam. Matanya
terkelip-kelip saat terpandang wajah si pemberi salam. Jejaka itu pula
tersipu-sipu malu.
“Maaf,
saya tak perasan. A....awak....hendak apa?” soal Tamara teragak-agak dengan
matanya meninjau-ninjau ke sana ke mari. Rasa bimbang muncul dalam dirinya
sebab dia keseorangan di situ. Pak Guard yang sudah biasa dengan
panggilan Pak Deris tidak kelihatan, mungkin sedang meronda-ronda kawasan
sekolah dan mengunci blok-blok kelas.
“Err...saya
hendak mencari pejabat Pengetua” balas si jejaka.
Lelaki
itu diperhatinya dari atas ke bawah, nampak smart semacam. Di tangannya ada
sebuah folder plastik. “Awak salesman ke?” soal Tamara lagi.
“Eh,
bukan, bukan. Sebenarnya saya nak hantar surat perpindahan saya dengan Tuan
Pengetua” jawabnya. “Alamak! Cikgu baru? Mampuslah aku” detik hati Tamara
menahan rasa malu. “Maafkan saya, err cikgu baru ke?” soalnya dengan
tergagap-gagap.
Luqman
ketawa sambil mengeleng. Akhirnya Tamara faham.
“Salesman
bukan, cikgu pun bukan, kerani memang tak mungkin sebab awak nampak muda
sangat. Kalau begitu, awak pelajar barulah ya?” Tamara meneka lagi.
“Ya,
nama saya Luqman Zafrullah. Nampaknya awak ni suka main teka-teki ya?” jejaka
yang baru dikenali itu membuat andaian. Bibirnya menguntum senyum. Mahu gugur
rasa jantung Tamara melihat senyuman itu.
Tamara
hanya tersengih. “Hai, pandai menyindir pula mamat ni” bisik hatinya.
“Boleh
tak cik tolong tunjukkan saya pejabat Pengetua?” pinta jejaka tersebut. Tatkala
cermin mata hitamnya ditanggalkan, matanya melekat pada wajah Tamara. Tamara
sendiri seperti terpaku dan kedua-duanya terdiam seketika sehinggalah bunyi
motosikal Pak Deris kedengaran menghampiri pondok jaga.
“Err...Rasanya
Pengetua sudah balik. Pejabat Am pun sudah ditutup, elok saudara Luqman datang
pagi esok saja” Tamara tergagap-gagap memberi cadangan. Di dalam hatinya
terfikir kenapa si Luqman Zafrullah ini datang selepas waktu pejabat. “Tak
tengok jam ke mamat ini?” fikirnya lagi.
“Sebenarnya
saya baru sampai dari Kuala Lumpur pukul 3 tadi dan terus hendak melapor diri,
tetapi tidak sangka pula di Kuching ini traffic jamnya boleh tahan
juga. Hampir dua jam di dalam kereta, baru sampai ke sini” Luqman mula bercerita
seolah-olah dapat membaca fikiran Tamara. Peluh di dahi dikesat dengan lengan
bajunya, perlakuan yang agak lucu di mata Tamara.
“Amboi,
dari A sampai Z dia bercerita” fikir Tamara sambil mengangguk, mendengar jejaka
yang berdiri di hadapannya memberi penjelasan dengan senyuman yang tidak lekang
di bibir. Senyuman yang sangat manis ditambah lagi tahi lalat di atas bibir
sebelah kanan..huh mengancam!
“Kalau
begitu, tak mengapalah. Mama dan papa saya pun sedang menunggu di dalam kereta.
Saya akan datang awal pagi esok. Terima kasih cik.....”
“Tamara” dia menyampuk seperti mengerti pemuda itu ingin tahu namanya.
“Ta...ma...ra”
jejaka bernama Luqman itu menyebut semula nama Tamara seperti budak baru
belajar membaca suku kata. Dia mengangkat kening sambil mengangguk menyebabkan
Tamara merasa serba salah.
“Nama aku pelik ke?” fikir Tamara.
Setelah
memberi salam, dia terus berjalan ke arah kereta yang menunggu. Sempat dia
menoleh dan menghadiahkan sebuah lagi senyuman kepada Tamara yang sedang asyik
memerhati dirinya sehingga dia memasuki kereta.
“Boleh
tahan hensem jugak mamat tu, badan tegap, berbudi bahasa. Hai, kalau yang cukup
pakej begini, mesti sudah ada girlfriend. Hmm...like they say, all the good
ones are taken” keluh Tamara.
Lamunan
Tamara terhenti apabila mendengar hon kereta Lexus ibunya.
“Maaf
sayang. Ibu lewat sikit tutup klinik tadi, ramai sangat yang datang. Lama
Tamara tunggu?” soal Doktor Jamilah, pemilik Tamara’s Clinic and Health
Centre yang sudah beroperasi semenjak anak gadisnya itu berusia 14 tahun.
Sebelum itu, Doktor Jamilah bekerja di Timberland Specialist Clinic
dan kadang-kadang menjadi doktor pengganti di klinik-klinik swasta.
“Tak apa
ibu, Tamara faham” balas Tamara yang akur dengan tugas dan tanggungjawab ibunya.
“Ibu, malam ni ada birthday party untuk Uncle Zain, Auntie
Lia yang jemput Tamara. Dia kata, kalau boleh, ajak ibu sekali” sambung Tamara
lagi separuh berbohong untuk mengambil hati Doktor Jamilah. Tangannya sibuk
memasang talipinggang keledar. Mukanya pula dipalingkan keluar supaya ibunya
tidak mengesyaki yang dia berbohong sedikit.
“Pukul
berapa majlis itu?” soal Doktor Jamilah. Tamara sudah mengagak soalan itu yang
akan keluar. Masalahnya dia sendiri pun tidak pasti pukul berapa mula dan pukul
berapa habis.
Untuk
menyedapkan hati ibunya, Tamara membuat kesimpulan sendiri. “Emm...majlis bermula pukul 7:30 malam dan
mungkin habis dalam masa dua tiga jam. Ibu nak ikut tak?”
“Hish.
Tamara kan tahu ibu tak suka majlis-majlis begitu. Tak mengapa, Tamara sajalah
yang pergi. Lagipun malam ini ibu ke klinik lagi. Sampaikan salam ibu pada Auntie
Lia dan Uncle Zain nanti. Tak perlu belikan hadiah ke?”
“Ish...ish...ish
ibu ni. Uncle Zain itu sudah tua, tak payahlah belikan hadiah. Kalau
ibu hendak belikan juga, apa kata kita belikan dia teddy bear atau
kereta mainan Hot Wheels” balas
Tamara diiringi ketawa mereka berdua.
“Heh,
mengarutlah Tamara ni. Ada ke nak belikan teddy bear untuk abang Zain
tu” sahut Doktor Jamilah. Dia teringatkan bekas jirannya, yang dibahasakan
sebagai abang Zain. Beliau sudah mencecah usia enam puluh tahun dan rupa serta
perwatakannya saling tak tumpah seperti pelakon dan pelawak Jalil Hamid.
Mengenangkan itu, Doktor Jamilah merasa gelihati. Bagaimanalah agaknya lelaki
berusia itu memeluk teddy bear atau bermain dengan kereta mainan?
Silap haribulan, berebut dengan cucunya pula. Doktor Jamilah tiba-tiba mengekek
ketawa menyebabkan Tamara menoleh ke arah ibunya dengan dahi yang berkerut.
Hairan.
“Kenapa
dengan ibu ni? Tiba-tiba ketawa. Apa yang kelakar sangat ni bu?” soal Tamara.
“Ibu
terbayang-bayangkan abang Zain yang sudah bercucu itu memeluk teddy bear dan
bermain kereta mainan. Jenuhlah Kak Lia nanti kalau dia berebut
dengan cucu-cucunya ” jawab Doktor Jamilah sambil ketawa lagi.
“Itulah
sebabnya Tamara kata tak perlu bawa hadiah sebab kita tak tahu apa yang sesuai.
Takkan nak hadiahkan vitamin pula? Kalau kita hadiahkan sejadah ke, al-quran
ke, lain pula anggapan orang nanti. Betul tak bu?”
“Yalah,
yalah. Terserah Tamara, ibu ikut saja” akhirnya Doktor Jamilah bersetuju.
“Kalau
macam tu, Tamara nak hantar mesej dengan Fizzi suruh dia jemput lepas Maghrib”
balas Tamara lantas mengeluarkan handphone dari poket seluar jeans.
“Tapi
jangan lama-lama, ya sayang. Paling lewat balik pun pukul 10:30, bawa kunci spare
takut nanti ibu lambat balik dari klinik” pesan Puan Jamilah. Kebelakangan ini
pengunjung kliniknya bertambah dan dia agak sibuk sehingga kadang-kadang dia
bimbang kalau Tamara terabai.
Dia
merasa lega dengan kata-kata ibunya hanya mengangguk. Sepanjang perjalanan
pulang, Tamara melayan fikirannya tentang jejaka yang baru dikenali tadi. Dia tiba-tiba
tersenyum apabila teringatkan riak muka Luqman Zafrullah yang cemas dan dalam
keadaan berpeluh-peluh.
“Such
a sweet gentleman” bisik hati Tamara.
“Hai,
anak ibu tersenyum-senyum ni kenapa? Tadi bukan main lagi mengata ibu” soal
Doktor Jamilah sambil ketawa kecil.
“Tak ada
apa-apa ibu. Cuma terkenangkan peristiwa lucu di sekolah tadi” balas Tamara
tidak mahu bercerita lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment